Wednesday, November 17, 2010

Aidil Adha disambut dengan penuh keinsafan..


Hari Raya Aidil Adha di sambut dengan penuh keinsafan oleh kariah Surau Al Malikus Solleh. Kebanyakan AJK dan ahli kariah masih bersedih dan amat terasa kehilangan Ustaz Yahaya. Walaubagaimanapun, legasi, cita-cita dan komitmen Allahyarham Ustaz Yahaya akan diteruskan oleh AJK dan ahli kariah. En Abu Zaren, setiausaha surau, dalam ucapan ringkas sebelum solat sunat hari raya memaklumkan bahawa AJK telah mengadakan mesyuarat tergempar dan telah memilih Timbalan Pengerusi Surau,  Prof Dr Ir  Hj Jamaludin bin Mat sebagai pengerusi yang baru. Manakala jawatan Timbalan pula diisi oleh En Ismail bin Mohd Dali. 

Dr Jamaludin  dalam ucapan ringkasnya pula menyeru ahli kariah memberi teguran dan pandangan bagi menambahbaik program dan pentadbiran surau. Beliau juga menyeru ahli kariah untuk memberi sumbangan bagi membangunkan bangunan baru surau dengan berusaha mencari dana ataupun turut serta dalam gotong royong yang diadakan setiap dua minggu sekali. Setakat ini beliau amat berbangga dengan komitmen ahli kariah yang telah banyak membantu pembangunan surau.yang sehingga kini telah mencapai 50%. walaupun masih tidak mendapat  sebarang bantuan dari agensi kerajaan.

Sembahyang sunat Aidil Adha kali ini diimamkan oleh Tuan Hj Mat Amin bin Hamezah dan khatibnya pula ialah Tuan Hj Md Shariff bin Othman. Kira-kira 300 orang telah hadir. Selesai sembahyang para jemaah bergotong royong menyempurnakan ibadah korban 5 ekor lembu.  Alhamdulillah tahun ini lembu-lembu korban gemuk-gemuk belaka, diperolehi dari `Wak Api' penternak lembu yang pernah menetap di KMST satu ketika dahulu.Daging korban telah diagih-agihkan kepada anak-anak yatim dan mereka yang kurang kemampuan di KMST, selebihnya diagih-agihkan kepada ahli kariah.

No comments:

Post a Comment